Primadona filem Malaysia tahun 1980an
5 PRIMADONA FILEM 80AN
Industri perfileman tempatan tidak putus dari melahirkan pelakon wanita berkaliber. Pengaruh para primadona ini begitu besar sehingga menjadi kegilaan peminat dan juga para VIP ketika itu. Berikut kami senaraikan 5 pelakon wanita popular era 80an.
OGY AHMAD DAUD

Sinonim dengan watak Azura (filem Azura) dan Asmidar (Ali Setan), Ogy sememangnya diiktiraf sebagai antara pelakon wanita terbaik di Malaysia. Mewarisi darah seni dari seniman Ahmad Daud dan Saadiah (primadona filem Melayu era 60an), kehebatan lakonan Ogy tidak boleh dipertikai apabila membawa watak berat mahupun komedi ringan.
Walaupun kariernya meletup melalui filem Azura, namun Ogy tidak memenangi kategori pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 1984. Sebaliknya, rezeki beliau untuk anugerah tersebut tertulis melalui filem Ali Setan pada tahun berikutnya.

Dianggap sebagai selebriti serba boleh, Ogy turut berkebolehan menyanyi, mengacara dan mengarah drama.
NOORKUMALASARI

Kali pertama memegang watak sebagai pelakon utama adalah melalui filem Menanti Hari Esok. Sebelum itu, Noor banyak memainkan watak sampingan selain menumpukan fokus karier sebagai peragawati. Semenjak itu, Noor sering dipilih sebagai watak utama dalam banyak filem tempatan.
Antara filem yang mengangkat nama Noor sebagai pelakon wanita popular adalah Esok Untuk Siapa, Matinya Seorang Patriot, Mira Edora dan yang paling tidak boleh dilupakan peminat tanahair, filem Misteri Rumah Tua (ngeri woo babak Noor jadi hantu dan lahirkan anak ikut mulut tu!)

Turut berbakat sebagai penyanyi, Noorkumalasari sememangnya akan dikenang sebagai salah seorang selebriti yang memberi impak besar dalam sejarah industri hiburan tanah air.
RAJA EMA

Walaupun lebih dikenali sebagai penyanyi, impak yang terhasil dari penglibatan Raja Ema dalam dunia lakonan sememangnya sangat besar. Ini membolehkan beliau tersenarai sebagai antara pelakon wanita popular era 80an.
Raja Ema merupakan pelakon tempatan paling banyak terlibat dalam membintangi filem usahasama Malaysia-Indonesia (7 buah filem). Malah wajah comelnya juga menghiasi drama dan sitkom televisyen tempatan.

Bakat lakonan yang diwarisi dari ibunya (pelakon veteran Yusni Jaafar) diiktiraf apabila memenangi kategori Bintang Harapan Wanita Terbaik pada 1987 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 1989 di Festival Filem Malaysia.
NOREEN NOOR

Seperti Raja Ema, Noreen Noor juga lebih dikenali sebagai penyanyi namun memberi impak besar dalam dunia lakonan.
Kali pertama muncul dalam filem Talak pada 1984, Noreen hanya muncul dalam 7 buah filem. Namun persona yang ada pada dirinya menyebabkan Noreen menjadi fenomena ketika itu.

Pernah juga membintangi filem komedi bersama AR Badol dalam filem Hantu Siang.
ZIELA JALIL

Jejak awal Ziela dalam dunia lakonan dibawa oleh pengarah AR Badol melalui filem komedi Mr Os.
Sejak itu, Ziela terus mewarnai industri seni dengan membintangi filem seperti Perawan Malam, Driving School dan Rozana Cinta 87.

Ziela turut mengikuti trend dunia perfileman tempatan ketika itu iaitu membintangi filem usahasama Malaysia-Indonesia. Beliau sempat membintangi filem Tarzan (bersama Barry Prima), Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu.