Perginya Seorang Seniman

Peminat serta seluruh warga perfileman Malaysia menzahirkan kesedihan apabila mendapat khabar pulangnya pengarah tersohor, Mamat Khalid ke negeri abadi.

Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River jam 12.30 pagi pada 24 Oktober 2021.

Sutradara yang lebih mesra dipanggil Abang Mat itu pengsan di restoran Sarang Art Hub miliknya di Tanjong Malim dan dikejarkan ke Hospital Slim River.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak, Abang Mat sebelum ini pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas mengalami sesak nafas pada Oktober 2019.

Pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat industri perfileman negara. Karya beliau yang sinonim dengan komedi satira dan tidak lepas dari menyelitkan kritikan sosial dan isu kemasyarakatan pastinya akan dikenang sebagai khazanah berharga. 

Al-Fatihah buat Allahyarham Mohamad bin Mohamad Khalid.