Pelakon-pelakon Filem Wanita Pelapis Primadona Tempatan

Rata-rata filem di seluruh dunia, di mana ada ‘hero’ di situ ada ‘heroin’. Pelakon filem wanita ternama seperti Ogy Ahmad Daud, Erma Fatima, Umie Aida dan Tiara Jacquelina semestinya telah meletakkan standard yang tinggi buat pelakon wanita masa kini. Antara pelakon filem wanita yang semakin meningkat naik adalah Sweet Qismina, Mimi Lana, Zahirah MacWilson, Puteri Aishah dan Eyka Farhana.

Bermula sebagai seorang pelakon kanak-kanak, Farhanna Qismina Supandi atau lebih dikenali sebagai Sweet Qismina mula meraih perhatian di dalam siri televisyen Hikayat Putra Shazlan. Sweet turut mencipta namanya sendiri dalam beberapa lagi filem lakonannya seperti Manisnya Cinta di Cappadoccia, Juvana 2 dan 3, Rise: Ini Kalilah dan Pusaka. Dia kemudiannya telah meraih anugerah Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2016. Katanya, cabaran terbesar sepanjang kerjayanya adalah ketika membintangi filem Pusaka di mana dia perlu melakonkan dua watak iaitu sebagai pasangan adik beradik kembar. 

Seterusnya, Mimi Lana, pelakon yang tinggi lampai ini semakin meraih perhatian para penonton seni tanah air sejak kebelakangan ini. Bermula sebagai salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015, dia kemudiannya mula membintangi beberapa drama bersiri dan filem. Watak Mimi sebagai Nur Ishak dalam filem pertamanya, Pusaka mendapat pujian ramai dan berjaya mengutip RM12 juta sepanjang tayangan.

Pelakon berketurunan British dan Melayu, Zahirah MacWilson, mula berkecimpung dalam kerjaya lakonan pada tahun 2015. Dia yang juga seorang model, pernah terlibat di dalam filem pendek Saga Berterusan dan #ER3 Ertiga dan yang terbaru Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar. Filem lakonannya, Bulan dan Pria Terhebat telah ditayangkan pada 12 Mac 2020 namun terpaksa dihentikan buat sementara waktu ekoran wabak pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia.

Selain itu, Puteri Aishah yang turut ikut serta menyertai pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 telah diberi kepercayaan melakonkan watak Che Thom dalam filem Pulang arahan Kabir Bhatia. Pulang menyaksikan gandingannya bersama hero Malaya ternama Malaysia, Remy Ishak pada tahun 2018.  Filem pertama lakonannya itu diinspirasikan oleh kisah sebenar yang berlaku pada tahun 1940-an dan telah berjaya mendapat reaksi positif daripada penonton.

Pelakon genit, Eyka Farhana mula aktif di industri hiburan pada usia yang muda iaitu ketika berumur 15 tahun. Eyka telah terlibat dalam beberapa buah filem sepanjang kerjayanya. Antaranya adalah Jengka, Polis Evo, Juvana 2 dan 3, dan terbaru Polis Evo 3 yang masih berada dalam pos-produksi. Eyka juga semakin mula menunjukkan pengaruh sebagai pelakon wanita berkaliber dalam industri hiburan tanah air apabila diberi kepercayaan memerankan watak utama dan juga mula menempah nama di negara jiran, Indonesia dalam Pretty Little Liars versi Indonesia musim pertama.

Jelas menunjukkan bahawa usaha itu tangga kejayaan apabila nama pelakon-pelakon wanita ini semakin mendapat nama dan meningkat naik kerana benar di mana ada kemahuan di situ ada jalan.