Lokasi Penggambaran Filem Malaysia Yang Menakjubkan

LOKASI penggambaran sering dilakukan di kawasan yang berupaya memukau perhatian seseorang itu untuk menonton filem mereka.

Tidak terkecuali dengan negara Asia Tenggara lain, Malaysia juga mempunyai beberapa lokasi tumpuan buat penggambaran filem tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya ialah Ladang Teh di Cameron Highlands, Menara Berkembar Petronas KLCC serta Pulau Tuba dan Four Seasons di Langkawi. 

Ladang Teh Bharat dan Ladang Teh Boh di Cameron Highlands telah menjadi lokasi penggambaran buat filem The Garden of Evening Mists arahan sutradara Taiwan, Tom Shu-Yu Lin.

Filem antarabangsa tersebut merupakan terbitan Astro Shaw dan HBO Asia yang memaparkan sinematografi indah di Malaysia.

Ladang Teh Bharat menjadi lokasi pondok Yun Ling (lakonan Sinje Lee) menginap ketika ingin membangunkan sebuah taman Jepun namun pondok tersebut telah pun dirobohkan selepas penggambaran tamat. 

Seterusnya, Menara Berkembar Petronas KLCC hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikenali sebagai monumen kebanggaan rakyat Malaysia.

Menara klasik bertaraf dunia ini pernah menghiasi filem hebat antarabangsa seperti James Bond Entrapment lakonan Sean Connery, Don lakonan Shah Rukh Khan dan banyak lagi.

Beberapa babak aksi James Bond Entrapment dirakam berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas KLCC pada tahun 1999. Selain itu, Don yang ditayangkan pada tahun 2006 itu pula hampir 80% telah dirakamkan di kawasan tersebut dan Jalan Masjid India. 

Di samping itu, pulau peranginan Langkawi turut menjadi lokasi pilihan buat penggambaran filem kerana lokasinya yang sangat indah dan strategik.

Pulau Tuba, Langkawi telah menjadi lokasi penggambaran untuk filem Langit Cinta arahan Osman Ali yang ditayangkan pada tahun 2016. Kata pengarah legenda tersebut, sebanyak 80 peratus penggambaran filem tersebut bertempat di Pulau Tuba kerana keindahan alam semula jadi yang cantik sesuai sebagai latar tempat penggambaran sesebuah filem. 

Selain Pulau Tuba, Four Seasons Langkawi telah menjadi pilihan pereka produksi Crazy Rich Asian, Nelson Coates. Katanya, sebanyak dua babak dan latar lokasi berbeza telah dilakukan di tempat yang sama iaitu Pulau Langkawi. 

Filem Crazy Rich Asians telah menjadi sebuah fenomena di serata dunia kerana penglibatan pelakon Asia dalam filem Hollywood. 

Pemilihan lokasi penggambaran di Malaysia sekaligus dapat menaikkan lagi nama Malaysia dalam sektor pelancongan sebagai negara yang harus dilawati kerana mempunyai infrastruktur dan alam semula jadi yang indah.