Hero filem Malaysia tahun 1980an

5 HERO FILEM 80AN

Tahun 80an menyaksikan dominasi filem komedi dalam perkembangan industrI filem Malaysia. Disebabkan itu jugalah maka ramai pelakon komedi yang mendapat perhatian para peminat dan rebutan para penerbit filem. Berikut disenaraikan 5 orang hero filem 80an yang paling mendapat sambutan.

AR BADOL

AR Badol adalah satu nama besar dalam industri perfileman negara. Beliau membentuk identiti melalui karya komedi yang dihasilkannya. Boleh dikatakan selepas era komedi filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, AR Badol meneruskan legasi tersebut pada tahun 80an. Malah, beliau mempunyai siri filem dengan namanya sendiri, seperti Panglima Badol, Si Badol, Tuan Badol dan Guru Badol. Ia melambangkan dominasi beliau dalam filem komedi tanah air.   

Memulakan langkah seni dalam kumpulan bangsawan, AR Badol kemudian mengembang bakat dalam industri TV dan filem. Beliau insan seni serba boleh. Bukan sekadar berlakon dan melawak, AR Badol turut menulis skrip dan seterusnya mengarah filem.

AR Badol dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 1989 melalui filem Oh Fatimah.

AZMIL MUSTAPHA

Filem Ali Setan adalah perkara pertama yang terlintas apabila menyebut nama Azmil Mustapha. Filem yang mencetuskan fenomena ini mengukuhkan nama Azmil sebagai hero filem Melayu era 80an.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Filem, Radio & Televisyen dari Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat ini memulakan langkah dalam industri melalui filem Mekanik, yang merupakan filem pecah panggung ketika itu. Namun, gandingan ideal bersama Ogy Ahmad Daud dalam Ali Setan melonjakkan lagi namanya sehingga diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 1985.

Populariti yang diraih Azmil ketika itu menyebabkan dia dipilih untuk membintangi dua buah filem terbitan produksi Indonesia, iaitu Madu dan Racun serta Gadis Hitam Putih. 

DHARMA

Dharma Harun Al Rashid pernah menjadi pujaan gadis-gadis Malaysia ketika beliau popular dengan filem Adik Manja. Wataknya sebagai Cikgu Azmi yang tinggi lampai dan berwajah jambu menarik perhatian peminat wanita. 

Selain filem komedi seperti Adik Manja dan Sikit Punya Gila, Dharma juga membintangi filem bergenre berat seperti Langit Petang, Perawan Malam dan Lukisan Berlumur Darah (usahasama dengan produksi Indonesia).

Dharma pernah muncul sebagai penampilan khas dalam filem Hollywood, Fifty Fifty yang menjalani penggambaran di Malaysia.

MR OS

Siapa yang tidak kenal Mr Os, seorang pelakon, penyanyi dan pengacara. Pemegang nama sebanar Mohd Yusof bin Abdul Hamid ini memulakan langkah dalam arena perfileman Malaysia pada 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Wajah komedi Malaysia era 80an ini memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia menerusi filem Mr OS dan Ghazal Untuk Rabiah.

Namun lakonannya paling diingati peminat tentulah menerusi watak pemuda autisme dalam filem Adik, serta filem OK (Orang Kampung Otak Kimia)

FAIZAL HUSSEIN

Melonjak naik melalui filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986, Faizal sebenarnya mula berlakon pada usia 5 tahun menerusi filem Darah Panglima (1972). Mewarisi darah seni dari ibubapanya yang merupakan pelakon veteran 60an, iaitu Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail, Faizal konsisten membintangi filem tempatan sehingga ke hari ini. 

Dilabelkan sebagai pelakon serba boleh, kanvas lakonan Faizal dicorakkan dengan filem pelbagai genre seperti komedi, aksi dan sains fiksyen. 

Tahun 2012, pada Festival Filem Malaysia ke 25 menyaksikan Faizal Hussein diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Bunohan.