Hero Filem Malaya Yang Menghiasi Arena Perfileman Malaysia

HERO Malaya pada suatu ketika dahulu seperti Faizal Hussein, Azhar Sulaiman dan Rosyam Nor pernah menjadi dambaan ramai gadis di luar sana. Kini, terdapat lima jejaka yang sering menjadi perbualan ramai kerana bakat dan rupa mereka yang menepati kriteria pemuda Melayu terakhir. 

Jejaka-jejaka tersebut adalah Remy Ishak, Zul Ariffin, Zizan Razak, Shaheizy Sam dan Syafiq Kyle. Mereka ini sering menjadi pilihan untuk membintangi naskhah para pembikin filem di negara ini. Meski sudah agak lama kerkecimpung dalam industri hiburan, namun permintaan rakyat di negara ini untuk melihat mereka beraksi masih lagi tinggi. 

Remy Ishak mula meraih perhatian dalam drama Nur Kasih yang pernah menjadi sebuah fenomena pada tahun 2009 di TV3. Dia kemudiannya mula membintangi beberapa lagi filem seperti Nur Kasih The Movie, Rise: Ini Kalilah, Pulang, Sangkar dan banyak lagi. Pada 2019, filem lakonannya Sangkar telah ditayangkan di tiga negara seberang termasuk Malaysia, Singapura dan Brunei lalu berjaya mengutip RM12 juta hasil tayangan pecah panggung. 

Selain itu, Zul Ariffin yang tidak kurang hebatnya mula meraih perhatian ketika membintangi drama bersiri Rindu Awak 200% gandingannya bersama Ayda Jebat. Zul turut membintangi filem Sangkar bersama Remy Ishak sebagai Adam “The Ace” Abdullah, atlet MMA tempatan. Filem terbaru lakonannya J2: J Retribusi telah ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar pada 1 Jun 2021.

Seorang lagi pelakon lelaki yang sering terpapar mukanya di pawagam dan kaca televisyen, Zizan Razak memulakan kerjaya seninya sebagai seorang pelawak apabila merangkul gelaran naib juara Raja Lawak musim pertama. Zizan kemudiannya mula membintangi KL Gangster, Mael Lambong, Abang Long Fadil dan Polis Evo yang telah menaikkan namanya sebaris pelakon hebat di negara ini. Pelakon dan pelawak ini bakal menghidupkan kembali wataknya sebagai Inspektor Sani dalam filem aksi Polis Evo 3 yang bakal menghiasi layar lebar tidak lama lagi.  

Seterusnya, pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam berjaya meraih pelbagai anugerah seperti Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013, Pelakon Terbaik (Filem) di Anuegrah Skrin ke-16 dan di Festival Filem Malaysia ke-24 turut mempunyai ‘fanbase’ yang tinggi di serata Asia Tenggara. Antara filem lakonannya adalah Polis Evo, Adnan Semp-It, Manisnya Cinta Di Cappadoccia dan SAM: Saya Amat Mencintaimu. Dia kini sedang membintangi tiga lagi filem di mana dua daripadanya sudah berada dalam fasa pos-produksi. 

Hero Malaya seterusnya ini sudah pasti dikenali ramai berkat lakonannya sebagai Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur pada tahun 2018. Syafiq Kyle, nama yang tidak asing lagi ini mula menempah nama di industri hiburan dalam program Hero Remaja 2011/12 di mana dia muncul sebagai naib juara. Dia juga telah membintangi beberapa buah filem seperti Langsuir, Gol & Gincu Vol.2 dan Pusaka yang meletakkannya sebaris hero Malaya yang lain. Filem terbarunya, Polis Evo 3 yang sudah berada dalam fasa pos-produksi ini juga amat dinanti-nantikan peminat yang ingin melihatnya beraksi di dalam filem aksi komedi ini. 

Pelakon-pelakon idaman Malaya ini tidak menunjukkan sebarang tanda noktah dan masih giat memberikan yang terbaik sebagai penggiat seni, bukan sahaja buat peminat mereka di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara.