Filem Seram Sempena Bulan Oktober

Oktober ini memang dikenali atau lebih sinonim dengan isu-isu yang berkaitan seram, kerana bagi bangsa Celtic ianya adalah sebuah tradisi dan mereka menyambut perayaan Halloween ini yang  jatuh pada tanggal 31hb Oktober. Dalam kepercayaan mereka orang yang mati akan kembali ke dunia pada perayaan ini dan menyebarkan penyakit dan merosakkan tanaman-tanaman. 

Untuk menghindari daripada isu ini mereka memakai pakaian yang menakutkan bagi berdamai dengan roh-roh jahat dari alam lain.

Kalau tak tahu nak tengok filem bergenre seram apa, ini lah beberapa pilihan filem lokal daripada kami!

DENDAM ORANG MATI

Filem arahan Jason Chong terbitan KRU Studios ini mengisahkan mengenai seorang wanita bernama Lena (Lisa Surihani) yang baru sedar daripada koma dan mula berdepan dengan kejadian-kejadian aneh.

Selain daripada gangguan mistik, Lena juga mengalami tekanan perasaan apabila terasa diabaikan oleh suaminya yang telah berkahwin lain.

Jalan cerita ini juga dihasilkan berdasarkan kepercayaan kaum Cina. Jason Chong mengadunkan kisah misteri nombor 4 dikalangan masyarakat Cina dengan kisah Lena yang duduk di tingkat 4 di sebuah flat usang.

Filem ini mendapat kritikan yang positif dengan lakonan mantap daripada Lisa Surihani membuatkan anda mengikuti perjalanan karakternya dalam filem ini.

VILLA NABILA

Siapa yang tak ingat dengan kejadian Villa Nabila ini pada tahun 2013? Ia menggemparkan seluruh negara apabila 23 remaja yang  hilang di lokasi tersebut.

Yang menariknya, filem ini terbahagi kepada dua segmen. Segmen yang pertama ialah paparan dokumentari mengenai latar belakang banglo Villa Nabila dari pelbagai sumber yang diadun semula sebagai filem pendek oleh Daniel Matiin dan Rasaili Adlin.

Bahagian kedua pula memaparkan filem eksperimental arahan Syafiq Yusof berdasarkan temu bual antara produksi dengan dua orang pekerja kontrak yang terlibat untuk merobohkan rumah tersebut.

HANTU TOK MUDIM

Kalau anda bukanlah seorang yang berani untuk menonton filem bergenre seram thriller, filem ini merupakan sebuah karya ringan yang bertema kan seram komedi.

Jalan cerita yang berkisarkan mengenai kisah berkhatan yang cukup dekat dengan masyarakat Melayu. Satu tragedi ngeri yang menghantui sebuah kampung apabila hantu Tok Mudim kembali untuk membalas dendam terhadap kesemua penduduk di kampung itu.

Lakonan yang bersahaja dengan skrip yang mudah, namun pengarah banyak meninggalkan mesej buat para penonton.

MUNAFIK

Filem diarah dan dilakonkan oleh Syamsul Yusof sendiri yang menceritakan kisah seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Sejak itu, peristiwa tersebut telah mematahkan semangatnya untuk meneruskan tanggungjawab mengubati orang-orang kampung.

Kisah seramnya bermula apabila Adam (Syamsul Yusof) bertemu Maria (Nabila Huda) dengan pelbagai perkara pelik mulai menghantuinya.

Rata-rata memberikan komen yang positif mengenai filem ini, terutamanya babak seram yang benar-benar menghantui anda!

PAKU

Filem ini ditayangkan pada tahun 2013, dibintangi oleh Johan As’Ari dan Aishah Ilias sebagai pelakon utama.

Ia mengisahkan seorang suami, Fahmi yang kematian isterinya, Rania. Fahmi yang taksub dengan cinta terhadap isterinya, sanggup mencari seorang bomoh untuk menghidupkan semula Rania.

Selepas berjaya dihidupkan semula, Rania kembali seperti dirinya yang dulu tetapi sedikit berbeza. Apakah kesudahan filem ini? Dan apa yang terjadi kepada Fahmi selepas itu? Harusnya anda menonton sendiri.