Filem Dendam Bollywood – Bahagian 1

Filem Bollywood kini semakin lari dari stereotype. Jika dahulu, ianya klise dengan cinta dua darjat, tarian dan lagu, kini penggiat filem Bollywood lebih berani dan terbuka menampilkan karya yang berat. Genre thriller, seram dan elemen penyiasatan semakin mendapat tempat dihati audiens mereka.

Kami senaraikan 5 filem thriller Bollywood bertemakan dendam.

1. KAABIL

Kisah sepasang suami isteri muda yang buta. Si isteri sering diganggu seorang lelaki anak orang kenamaan disebabkan kecantikannya. Sehinggalah suatu hari dia dirogol di rumah ketika suaminya keluar bekerja. Si suami cuba mengheret penjenayah tersebut ke muka pengadilan. Sayangnya keadilan tidak memihak kepada mereka akibat korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Pihak polis yang menjalankan siasatan membuang semua bukti yang sepatutnya memihak kepada pasangan teraniaya ini. 

Tertekan dengan apa yang berlaku, isteri tadi membunuh diri. Si suami pula membuat keputusan mencari keadilan. Bagaimana lelaki buta ini mahu melawan kezaliman seorang diri? Anda perlu saksikan sendiri.

2. BADLA

Naina seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya. Mempunyai seorang anak dan suami, semuanya nampak bahagia. Disebalik semua itu, tersimpan sisi gelap hidupnya yang tidak diketahui sesiapa pun. Naina menjalin hubungan sulit dengan Arjun. 

Suatu hari ketika balik dari bercuti dengan Arjun, mereka mengalami kemalangan dengan sebuah kereta. Arjun melarang Naina dari melaporkan kepada pihak polis, kerana ia akan mendedahkan hubungan sulit mereka. Dalam keadaan terdesak, mereka memasukkan pemandu kereta yang pengsan ke dalam bonet dan menolaknya ke dalam tasik.

Masalah berlaku apabila tidak lama kemudian, mereka diugut oleh seseorang untuk mendedahkan jenayah tersebut. Dalam keadaan terdesak, Naina dituduh pula membunuh Arjun. Untuk membela diri, Naina mengupah seorang peguam handal. Dan disinilah segalanya terdedah. Ia terkait dengan ibubapa kepada pemandu yang mereka bunuh.

3. HATE STORY

**Amaran awal. Filem ini tidak sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana mengandungi babak ranjang. 

Berkisar tentang Kavya, seorang wartawan yang berjaya membongkar operasi haram sebuah syarikat korporat diketuai Siddharth, seorang taikun muda yang angkuh. Siddharth tahu bahawa Kavya adalah dalang disebalik pendedahan tersebut. Lalu dia menawarkan pekerjaan kepada Kavya dengan gaji lumayan. Kavya bersetuju. 

Mereka ke luar negeri untuk urusan perniagaan, dan hubungan erat tersebut berakhir di atas katil. Kavya kemudian menyedari bahawa Siddharth hanya mahu membalas dendam sahaja. Malangnya, tidak lama kemudian dia menyedari bahawa dia mengandungkan anak Siddharth.

Mahu memulihkan keadaan, Kavya menghubungi Siddharth semula. Namun dia diculik dan kandungannya digugurkan oleh Siddharth. Kavya kemudian menjadi pelacur kelas atasan dan berikrar membalas dendam.

4. Te3N

Lakonan hebat Amitabh Bachan dan Nawazuddin Siddiqui. Mengisahkan tentang seorang datuk, John Biswas (Amintabh) yang setiap hari akan datang ke balai polis untuk mengetahui perkembangan kes penculikan cucunya sejak 8 tahun lepas. Namun jawapan yang diterima John tetap sama. 

Satu hari, John mendapat petunjuk baharu dalam pencariannya. Dek kekangan usia, John cuba menyiasat sendiri kes ini dengan bantuan seorang paderi, Father Martin Das yang dibelenggu kesilapan silam.

5. KAHAANI

Vidya datang ke Kolkata mencari suaminya, Arnab (ye Arnab. Admin pun ketawa masa tengok cerita ni) yang hilang selepas insiden gas beracun dalam keretapi. Dibantu seorang anggota polis muda yang kemudian menaruh hati kepadanya, pencarian Vidya menempuh jalan sukar apabila nama dan identiti Arnab sangat asing di sekitar bandar Kolkata. Syarikat tempat Arnab bekerja mengatakan tiada rekod pekerja dengan nama itu. Malah, sekolah semasa Arnab kecil juga menafikan kewujudannya. 

Situasi semakin genting apabila kesemua orang yang Vidya hubungi dibunuh, dan Vidya sendiri diberi amaran oleh seorang penyiasat khas polis yang memintanya agar berhenti mencari Arnab. Adakah kehilangan Arnab ada kena mengena dengan polis yang korup?