Dominasi Hiburan Korea

Boleh dikatakan revolusi filem/drama Korea bermula dengan siri What Is Love dan Winter Sonata. Semenjak itu, drama Korea menjadi candu buat peminat seluruh dunia. Muncullah deretan lagi drama seperti Full House, Autumn In My Heart dan Secret Garden.

Demam Korea ini disusuli dengan filem. Kita masih segar dengan babak filem Train To Busan, Flu dan Along With The Gods. Sehinggalah Parasite mencatat sejarah menjadi filem asing pertama memenangi Oscar. 

Kini filem Korea menjadi antara produk paling laris di padang permainan sinema. Malah platform atas talian seperti Netflix aktif menghasilkan filem dan drama siri Korea dek kerana permintaan yang tinggi. Squid Game contohnya, menjadi siri paling popular dalam sejarah penerbitan Netflix.

Dan kejayaan ini tidak datang segera. Bagaimana filem dan drama Korea mendominasi lanskap sinema antarabangsa hari ini? 

Ia bertitik tolak kira-kira dari 30 tahun dahulu. Sejak tahun 90-an, drama mereka klise dengan cerita kahwin paksa, cinta dua darjat dan konflik keluarga. Mereka juga bermula dengan produk yang boleh dilabel ‘sampah’ oleh sesetengah pihak.

Cuma yang membezakan adalah, Korea ketika itu menjual saja dulu apa yang mereka ada untuk membina tapak dalam padang permainan ini. Dalam masa yang sama, mereka merangka strategi bagaimana mahu melonjakkan imej industri filem mereka dimata dunia. Mereka tidak membiarkan produk ‘sampah’ ini mengikat keselesaan mereka. 

Mereka tidak bekerja semata kerana wang. Istilah ‘asal boleh’ tiada dalam kamus produksi Korea. Untuk itu, mereka bekerja mengikut standard industri perfileman yang sepatutnya. Filem seperti Parasite mengambil masa hampir 5 tahun untuk disiapkan skrip penuh sahaja, demi mendapatkan jalan cerita yang terbaik. Dari situ kita boleh tahu sejauh mana seriusnya penggiat filem Korea bekerja. 

Misi mereka lebih jauh. Mereka mensasarkan untuk ‘menjual’ wajah budaya Korea kepada dunia. Pemain industri Korea merancang dengan teliti. Dan peranan ini dimainkan oleh semua pihak termasuk syarikat gergasi mereka seperti Hyundai dan Samsung. Ini kerana, untuk bekerja dalam kondisi yang betul dan mendapat hasil terbaik, bajet menjadi isu utama. Justeru, sokongan syarikat gergasi seperti ini sangat diperlukan.

Strategi ini merangkumi pelbagai cabang bidang hiburan yang lain seperti muzik, fesyen, bahasa malah makanan. Hasilnya hari ini, imej ‘Korea’ begitu melekat di mata masyarakat dunia. Dunia kini lebih mengenali budaya dan gaya hidup orang Korea. Semuanya hasil dari filem mereka.

Melalui filem dan drama, ia memberi impak yang cukup besar pada industri pelancongan mereka. Pulau Nami dan Pulau Jeju menjadi lokasi pilihan. Kimchi, Bulgogi dan pelbagai lagi makanan Korea memasuki senarai makanan wajib cuba oleh pencinta makanan. 

Hong Kong tidak lagi dianggap jaguh penghasilan filem di Asia. Peranan itu kini diambil Korea. 

Adakah peranan ini mampu diambil alih oleh Malaysia kelak?