Dendam P.Ramlee

Dendam merupakan antara elemen yang paling banyak dimainkan dalam filem. Samada luar atau dalam negara, ia sering menjadi latar cerita yang dikembangkan dalam pelbagai genre seperti kekeluargaan, aksi mahupun seram.

Melihat karya bapa perfileman negara iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kebanyakan dari kita hanya terbayang filem komedi seperti trilogy Bujang Lapok, trilogy do Re Mi, Tiga Abdul dan Madu3. Sedangkan banyak lagi filem P.Ramlee yang bergenre berat dan memaparkan realiti kehidupan masyarakat. 

Sempena nama laman sesawang ini, kami imbas 2 filem seniman agung yang mempunyai elemen dendam yang cukup jelas.

Enam Jahanam

Diterbitkan oleh Merdeka Film Productions pada tahun 1969, ia ditulis dan diarahkan sendiri oleh P.Ramlee. Jalan ceritanya boleh dikatakan semua orang dah tahu. Perjalanan seorang suami (Tantari) yang membalas dendam kematian isterinya (Masmira) ditangan 6 penyamun.

Filem ini dikhabarkan mendapat kritikan teruk dari media massa ketika itu. Namun tidak di zaman ini dimana Enam Jahanam menjadi pilihan walaupun berpuluh kali ditayangkan di kaca TV. 

Tolak tepi aspek teknikal yang memang satu keterbatasan di era itu, Enam Jahanam menampilkan jalan cerita yang ringkas. Dari awal, penonton semua telah jelas niat Tantari yang ingin membalas dendam, namun kita tetap teruja menanti cabaran yang akan dihadapinya. Ini ditambah dengan penampilan awal Yusoff Latif (Laksamana Damburi) yang kelihatan mencurigakan dari awal. Namun akhirnya menjadi ‘side-kick’ Tantari yang sangat membantu. 

Sedikit plot twist juga disediakan dipenghujung cerita apabila Tantari mendapat tahu bahawa guru silatnya adalah ayah kepada Masmira dan Laksamana Damburi adalah adalah abang iparnya. Tantari juga akhirnya dijodohkan dengan Mastika, adik kembar Masmira. 

Namun perkara menarik berkenaan filem ini adalah usaha P.Ramlee memvisualkan kejahatan dan keganasan enam penjahat ini melalui penampilan mereka. P.Ramlee telah memanggil kesemua mereka datang ke studio, dan telah bersedia beberapa orang  tukang gunting rambut. P.Ramlee telah meminta tukang gunting tersebut ‘mengerjakan’ rambut keenam-enam mereka dengan gaya yang berbeza.

Selain itu, uniknya filem ini adalah penggunaan senjata tekpi oleh P.Ramlee, nama enam watak penjahat ( Mumbala, Jagindas, Sujamang, Katipang, Paragas dan Karambit) serta penggunaan pistol oleh watak Laksamana Damburi oleh Yusoff Latiff (sesuatu yang agak rare jika dilihat garis masa yang dipaparkan dalam filem ini). 

Sumpah Orang Minyak

Ditayangkan pada 1958 oleh Malays Film Productions. Ia berkisar tentang Si Bongkok yang tersisih hidupnya daripada penduduk kampung kerana wajahnya yang hodoh sehingga dia mempersoalkan ketentuan takdir. Dia dihina, dipermainkan sesuka hati, terutamanya oleh sekumpulan pemuda kampung yang diketuai Buyong. Suatu hari tanpa sengaja, dia dibawa masuk ke dunia orang bunian dan diberi peluang untuk mengubah wajahnya menjadi kacak. Lalu dia pulang ke kampungnya membawa dendam akibat dihina dahulu.

Elemen dendam dalam filem ini asalnya tidak begitu kelihatan. Ini kerana sebaik saja Bongkok kembali dari alam bunian, dia terus berjumpa Pak Selamat, insan berhati mulia yang menumpangkannya dirumah semasa dia dibuli dahulu. Bongkok membantu Pak Selamat kembali memajukan perniagaa kain batiknya.

Hanya setelah dia diterima dan didewa-dewakan semasa majlis persembahan Pesta Malam Pemudi Seni, barulah luka dendam dihati Bongkok kembali berdarah.  Bongkok merasa jelik dengan sikap masyarakat yang hanya menerima kecantikan luaran seseorang manusia. Tambah menyakitkan hatinya apabila mengetahui Afidah, anak ketua kampung yang dicintainya dipaksa bertunang dengan Buyong, musuhnya dari dulu. Maka dendam dihati Bongkok menjadi marak dan akhirnya meletup apabila Buyong membunuh Afidah. Lalu Bongkok membunuh Buyong.

Antara kritikan umum yang diterima berkenaan filem ini adalah babak si Bongkok memaki dan menendang kubur ayahnya.  Ada yang merasakan ianya agak keterlaluan. Namun, penggiat seni pula melihat dari persepktif berbeza. Ia adalah cerminan dari emosi Bongkok yang terlalu marah dan kecewa kerana masyarakat melayannya sebegitu teruk dek kerana kejahatan yang dilakukan oleh arwah bapanya dahulu.

Filem ini memainkan unsur hikayat dan mistik dalam masyarakat Melayu seperti watak si bongkok, alam bunian serta orang minyak. Watak Puteri Bunian yang dilakonkan oleh Marion Willis juga menjadi sebutan dek kerana kejelitaan peragawati ini.  

Sumpah Orang Minyak menerima anugerah sinematografi terbaik (A. Bakar Ali) di Festival Filem Asia Pasifik Ke-5 (FFAP5) di Manila 1958.